Wednesday, May 7, 2008

Malaysia tercinta ...


Hari ini kita dikejutkan dengan dua cerita : cerita pertama mengenai Raja Petra Kamarudin (RPK) yang sanggup ke penjara dan cerita kedua tentang ke’biadab’an Karpal Singh (KS) yang mempersoalkan keputusan Raja dan Sultan.

Di antara keduanya, yang pertama ia adalah satu kes yang lurus bendul – yang boleh dipertikai dan dihujahkan di mahkamah. Keputusannya adalah berbagai dan memakan masa…..! RPK boleh pada bila-bila masa membayar wang jaminan RM5K, beliau mampu, beliau berduit kerana beliau bukan ‘haprak’ macam kita yang membanting tulang berjam-jam dari pagi sampai petang untuk mencari makan. Tetapi RPK tidak berhasrat berbuat demikian – mungkin “for the cause for what he wrote and he believed” ataupun atas nasihat panel peguam yang mengerumuninya. Isu wang jaminan ini telah dipolitikan – sekarang dijadikan isu rakyat. Rakyat kena tanggung dan pejuang-pejuang DAP, dilaporkan, akan melancarkan kutipan dana berkenaan.

Bagi kes kedua, ia berat sikit, kerana ia telah melanggar adap dan tata susila keMelayuan. Ramai orang Melayu merasa jengkel terhadap kebiadaban KS khususnya mengenai kuasa Sultan selaku ketua dalam urusan berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu di setiap negeri dalam negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Dan sebelum ini KS telah mempersoalkan titah DYMM Yang Di Pertuan Agong, Raja kita. Beliau tidak percaya titah itu titah Baginda!!

Bagi saya, riak-riak pesisiran untuk tidak menghormati dan tidak akur terhadap titah, keputusan dan tindakan Raja atau Sultan sudah mula membuak untuk menjadi gelombang yang lebih besar dan mungkin akan menjadi gelora yang akan mengganas melanda kehidupan kita di Malaysia. Lepas satu perkara sepi, satu isu lain diusik dan dicuit - semuanya untuk menguji sifat keMelayuan orang-orang Melayu. DAP (Dulunya Anak Pendulang, Dulunya Anak Penoreh, Dulu Asalnya Pendatang, Datuknya Adalah Pendatang …. petikan jenaka rakan saya tentang pengertian istilah DAP) tidak serik dan tidak akan berdiam diri selagi perjuangan Malaysian Malaysia dan Bangsa Malaysia belum tercapai. Garapan inilah yang ingin dicapai dan selagi belum tergarap ia akan sentiasa merperlekehkan Melayu.

Sebagai seorang Melayu, saya merasa marah, geram dan panas hati terhadap kebiadaban ini. KS cuba menghasut orang-orang Melayu agar tidak mempercayai dan membenci institusi keSultanan yang telah berkurun wujud di negara kita. Bagi sesetengah Melayu, saya hairan bin ajaib, ada yang turut serta dalam gerakan ini. Mereka bersekongkol dengan KS, dengan DAP dan dengan yang kononnya memperjuangkan the human rights dan kebebasan mutlak.

Kedua-dua kes adalah berbeza - satu terhadap harapannya agar salahlaku jenayah dihukum dengan hukuman setimpal, dan yang satu lagi, menyuarakan pendapat berteraskan hak-hak sebagai seorang pemimpin rakyat. Tetapi, selusuran dan hiliran kes-kes ini, sama sahaja - bermotifkan kebebasan bersuara dan rakyat berbagai kaum mempunyai hak yang sama.

Wahai Melayu – ke mana hala tuju kita? Sanggupkah anda membakar atap rumah kita sendiri yang selama ini menjadi tempat perlindungan kita, perlindungan anak bini dan cucu cicit kita? Kalau ‘tanah Melayu’ ini tergadai … ke mana kita mahu lari? Kita bukan ada Indian Continent atau Tanah Besar Cina untuk bermastautin – yang kita ada hanyalah tanah sekangkang kera ini. Kita perlu hidup dan mati di sini. Sayangilah Malaysia – tanah air tercinta kita !!

No comments: